Cinta Pertama


Semua orang mempunyai kenangan cinta pertama. Cinta yang akan dikenang sampai bila-bila kerana cinta pertama itu lah kasih sayang ikhlas yang pertama kita alami di zaman remaja. Tak terkecuali juga aku. Sedang runsing memikirkan segala masalah yang melanda , otak aku dengan tiba-tibanya teringatkan cinta pertama aku sewaktu zaman persekolahan dulu . Gadis yang sangat cantik, kelakar, dan manja . Namanya Ros Azlila Bte Yaakob atau nama timangannya Lila . Tinggal di Kampung Permatang, Kuala Selangor dan berlajar di sekolah yang sama denganku .

Kisah bermula pada tahun 2001 sewaktu aku mengikuti perkhemahan ke Gunung Angsi (Kalau tidak silap) Waktu itu aku baru berusia 16 tahun. Tak perlulah nak diceritakan segala apa aktiviti yang dilakukan oleh kumpulan kami . Kita terus beralih kepada waktu dimana bermulanya cinta pertama aku. Malam itu , aku telah diberi tugasan untuk berjaga bersama temanku sehingga tiba waktunya. Untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan kebosananku, ku capai gitarku yang berada di dalam khemah dan lantas membawanya ke depan unggun api.

Pada malam itu , bintang yang berkelipan cukup banyak di angkasa. Tanpa berfikir panjang, aku pun terus memetik kod gitar lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Man Bai yang bertajuk Kau Ilhamku dan terus menyanyi melayan perasaan. Tiba-tiba, aku terasa ada orang berjalan dibelakangku. Bila aku menoleh, aku lihat Lila bersama kawannya, Siti Fairuz merangkap kawanku juga , sudah ada berdekatan denganku. Beliau menyuruh aku meneruskan nyanyianku kerana sangat sedap didengar dan merupakan lagu kegemarannya. Aku pun terus menyanyi sambil memintanya bernyanyi sekali denganku. Selepas kami semua menyanyi beberapa buah lagu, aku menyuruh mereka tidur kerana tidak mahu orang mengata sesuatu yang tidak enak didengar. Ini kerana, pada waktu itu cuma aku dan temanku , dan dia bersama temannya . Dua lelaki , dua perempuan . Selepas mengucapkan selamat malam, Lila dan Fairuz bergegas menuju ke khemah mereka. Jam pun sudah hampir pukul tiga. Aku mengarahkan kawanku agar mengejut teman lain bagi meneruskan tugasan berjaga.

Selepas perkhemahan itu, bermula lah kisah aku dan dia. Bila terserempak dengannya, aku pun bertegur seperti biasa dengan menggunakan kata ganti nama seperti aku dan engkau. Lila meminta agar aku menggunakan kata ganti nama seperti saya dan awak dengan alasan bahawa dia mahu menjadi budak baik. Pada mulanya aku tidak mempunyai apa-apa perasaan pun padanya kerana waktu itu aku masih mentah untuk mengenal perasaan cinta dan sayang. Tetapi selepas segala tingkah lakunya, perbuatan baiknya pada diriku, membuatkan aku terasa disayangi dan timbul perasaan sayang yang luar biasa kepadanya. Ya, mungkin itu lah perasaan yang dipanggil cinta. Aku diberikan surat oleh temanku. Lila yang menulisnya dan memberitahu bahawa dia minat kepadaku. Pada masa yang sama juga, aku pun sudah meminatinya kerana sikapnya yang mengambil berat tentangku dan selalu mahu berjumpaku di sekolah.

Selepas aku menerima cinta yang hadir dalam hidupku untuknya, aku rasakan hidupku cukup sempurna. Masih teringat lagi sewaktu aku hendak mengikuti rombongan ke Thailand, Lila terasa amat berat hati kerana risau tidak dapat menghubungiku sewaktu di sana nanti. Ah, aku terasa sangat bahagia ketika itu. Setahun sudah hubunganku dengan Lila, dan aku tahu aku lah yang selalu membuat hal dan masalah. Aku cemburu buta. Cemburu kerana kekasih yang aku cintai itu terlalu digilai oleh teman-temanku yang lain. Tak terkecuali juga pelajar lelaki tingkatan lima. Setiap pergerakan Lila, aku intip, setiap percakapannya aku teliti, setiap perbuatannya seolah-olah aku yang mengawalnya. Aku memintanya jangan bercakap dengan orang itu, orang ini dan semua lelaki yang aku anggapkan seperti pesaingku bagi memiliki Lila. Cemburu buta, kongkongan, itulah punca retaknya cinta aku dengan Lila. Sewaktu berada di tingkatan lima, Lila menyuarakan niat untuk berpisah denganku. Ya Allah, terasa seolah-olah aku jatuh dari tempat yang tinggi tanpa sampai ke penghujungnya. Dia memulangkan segala pemberianku padanya selama perhubungan kami. Selesai sesi persekolahan, langkahku longlai menuju ke rumah. Tanpa menjenguk makanan yang dimasak oleh ibuku di dapur, aku berlari menuju ke bilik dan menangis bagai orang hilang akal. Menangis semahu-mahunya. Ibuku memanggil dari luar bilik, dan aku cuma memberitahu bahawa aku sedang serabut.

Ramai teman memberi sokongan moral agar aku tidak terikut dengan perasaanku. Hampir 8 bulan aku terpaksa bertungkus lumus bagi melupakannya kerana dia belajar di sekolah yang sama. Hari, bulan dan tahun berganti, aku pun sudah pulih dengan kedukaan itu. Sudah pun menjangkau 9 tahun umur memori cinta itu. Kini Lila sudah pun berkahwin dan sudah mempunyai anak yang sangat comel . Aku pun turut berkongsi bahagia untuknya. Walaupun telah banyak cinta yang ku temui selama ini, tak mungkin dapat aku lupakan cinta pertama bersama dengan Ros Azlila . Dan dulu, aku pernah berjanji bahawa aku akan tetap mengingatinya.

Izzy


Keliru,Bimbang

Dari malam tadi aku runsing memikirkan apa yang patut aku buat. Yuran semester ni perlu dibayar habis sebelum menjelang final exam. Final exam pula bulan Oktober. Total yuran untuk semester ni kesemuanya RM3350 dan aku baru mampu bayar RM1000 untuk melayakkan aku ambil Mid semester exam yang lalu. Pinjaman? Memang aku dah apply untuk pinjaman MARA tapi result untuk pinjaman tu keluar selepas Final Exam ni. Macam mana nak cari duit nak bayar yuran MSU yang bergunung tinggi? Serabut aku dibuatnya. Tambahan lagi, semester ni aku tak dapat menjamin keputusan yang melebihi paras sederhana. Kalau pun aku dapat gadai bermacam barang untuk bayar tunggakan yuran untuk semester ni, aku tak yakin aku dapat menduduki tempat untuk bersaing merebut tempat dalam pinjaman MARA. MARA cuma melayakkan 10 orang dari ribuan pelajar Diploma di MSU. Kalau aku dapat peluang sebanyak 1% sekalipun, aku dah cukup bertuah . Tapi , benda yang mustahil tak mungkin berlaku. Abah pernah berkata, untuk semester pertama dan perbelanjaan bulanan, dia mampu lagi untuk menampungnya. Tetapi untuk yuran semester yang akan datang, terpaksa berharap kepada pinjaman .

Parent aku sudah tentu akan sedih bila dengar berita ni. Tapi aku pun lagi sedih. Masalah ni ada yang datang dari aku dan ada yang datang dari keadaan sekeliling. Dulu pernah berlajar di UNISEL, dan aku kecundang juga. Kali ni di MSU, peratusan yang agak tinggi untuk kecundang juga. Mungkin bukan nasib aku untuk bina kehidupan melalui pelajaran. Memang orang kata, nasib kita, kita mampu mengubahnya. Tapi, aku tak mampu ubah melalui pelajaran. Mungkin dengan cara lain. Aku dah tak nak lagi menyusahkan kedua orang tua ku yang terpaksa bertungkus lumus bergadai itu dan ini demi mendapatkan wang untuk aku mendapatkan result yang tak seberapa. Aku dah bercerita masalah ni dengan kawan-kawan yang aku anggap seperti adik-adik aku. Ada yang memberi cadangan untuk menunda pelajaran dan ada yang memberi cadangan agar aku berhenti dan bekerja demi masa depan. Ada juga yang ingin membantu dari segi kewangan, dan aku telah menolak nya mentah-mentah. Aku tak mahu lagi menyimpan hutang keliling pinggang . Mungkin aku terpaksa berhenti dari MSU.

Dari dulu sampai sekarang, aku dah terlalu banyak menyusahkan kedua orang tuaku. Kalau nak dibandingkan dengan hasil kerja yang dah diberikan pada mereka, memang tak mampu nak tandingi. Tapi kali ni, aku dah nekad akan mendapatkan balik kepercayaan mereka kepada aku di mana aku boleh bina kehidupan aku tanpa pelajaran yang tinggi. Umur pun dah agak lewat kalau nak difikirkan. Belajar, kemudian berhenti , kemudian bekerja selama 3 tahun lebih, kemudian sambung belajar lagi. Sampai bila aku nak teruskan pusingan ni. Aku rasa memang pelajaran, tak serasi dengan aku yang cuma hangat-hangat tahi ayam ni saja. Tapi aku masih runsing, runsing bagaimana cara untuk aku ceritakan semua ni kepada kedua orang tua ku. Air mata, kecewa, marah, hampa, kesemua perasaan itu pasti akan menjadi objek tambahan sewaktu perbincangan aku dengan mereka. Aku takut, aku bimbang, dan kalau keadaan betul-betul memaksa, aku akan keluar dari rumah dan takkan pulang selagi belum capai kejayaan membina kehidupan sendiri.

Izzy

Raya 2011

Bersama keluarga
Raya tahun ni aku rasakan macam dah makin kurang meriah kalau nak dibandingkan dengan suasana raya 10~15 tahun yang lepas. Budak-budak dah semakin malu nak menjenguk rumah-rumah meraih duit raya, meminta maaf sesama orang yang dikenali. Bagi aku, budak-budak sekarang macam dah tak perlukan tradisi lama tu lagi. Aku masih teringat lagi zaman aku berumur 7~10 tahun di mana aku memang beraya sakan dengan abang aku dan 2 orang saudara aku, Firdaus dan Iskandar. Kami semua gila, satu kepala. Hahaha, memang kelakar bila diingat semula. Malam sebelum hari raya, kami bermain mercun, bunga api, meriam, mercun plug, dan macam-macam lagi. Memang hingai bingar rumah kami. Tempat tinggal kami memang berdekatan, semua adik beradik nenekku tinggal cukup dekat. Kalau buka tingkap, dah memang boleh nampak apa yang dibuat dek nenek saudaraku di dapur. Tapi apa yang tak boleh aku lupakan ialah sewaktu aku beraya sakan bersama yang tersayang. Waktu tu, lepas habis Solat Hari Raya Aildilfitri, dan sesudah meminta maaf dengan orang tua, tanpa menjenguk kuih-kuih raya, kami berempat teruskan misi mencapai RM100 dalam satu hari. Bermula dari rumah di hadapan jalan, dan terus menerus menuju ke depan. Boleh dikatakan, tiada satu rumah pun miss dari taklukan kami. Setiap kali kami beraya dirumah orang yang tak dikenali, hampir semua tuan rumah bertanya " Kau anak siapa ?" Masing-masing pun mula la perkenalkan diri. Kalau boleh di "copy" and "paste" setiap dialog kami, dah tentu kami akan gunakannya sepanjang hari kerana setiap rumah pasti bertanyakan begitu. Jawapan kami cukup senang iaitu "Kami anak cucu Misah. Alah yang duduk kat Kampung Pulau tuuuuu".

Nak dijadikan cerita, setelah banyak rumah yang kami 'Invade', ada satu rumah ni yang takut kami nak datang. Iaitu rumah pengajar kami mengaji. Kami memanggilnya Tok Wak. Tok Wak memang seorang yang cukup garang. Kalau terperangkap antara Tok Wak dan harimau yang sedang lapar, kami sanggup pilih harimau dan bertarung dengan harimau daripada bertarung dengan Tok Wak. Hari itu, kami nekad untuk beraya di rumahnya kerana merasakan banyak juga dosa yang kami lakukan dengan mengutuknya dari belakang. 'Assalamualaikum!' Firdaus memberi salam. Tiada jawapan. Kami berpandangan sesama sendiri . Kali ni, dengan nada yang agak kuat, aku pula memberi salam. 'Assalamualaikum Tok Wak! Kami datang nak beraya!'. Sayup dari dalam rumah, terdengar orang menjawab salam tetapi dengan nada yang agak kelam. 'Waalaikumsalam. Ha budak-budak, masuk lah!'. Selesai makan dengan beradab dan sopan, kami meminta izin untuk beredar. Sekali toleh, terasa macam nak tercabut jantung bila nampak Tok Wak tengah duduk sambil memegang sampul duit raya dan rotan 'legend' di tangan kirinya. Tok Wak ketawa berdekah-dekah. Dipanggilnya kami semua mengadap, dengan perlahan dihulurkan sampul itu dan bersalam. Tok Wak, Tok Wak, buat cemas kami saja. Ini lah Tok Wak. Setiap kali mengajar, rotan sebesar ibu jari orang dewasa sudah tentu di tangannya. Tapi yang seronoknya, setiap juzu' yang kami habiskan, pasti mendapat RM0.50.

Ada lagi kenangan beraya di mana, ada lah satu rumah ni, baru hendak kami memberi salam, sudah terpampang tulisan tangan berwarna merah bertulis "Jurujual dilarang masuk, apatah lagi budak-budak nak datang beraya". Kesemua kami berpandangan, lantas menuju ke rumah sebelah dengan perasaan hampa. Ada juga rumah di mana, salam kami dijawab dengan nyalakan anjing yang cukup besar. Setelah hampir semua rumah kami jelajahi, dan sewaktu hendak pulang ke rumah, aku, Firdaus, Iskandar dan abangku sibuk mengira duit raya, mataku terpandang sesuatu di kaki. "Eh , ini dompet." Bisikku. Diam-diam ku biarkan mereka berlalu kedepan dan lantas aku ambil dompet tu. IC, kad bank, semua ada. Dan sebagai bonus, RM150 ada didalam nya. Waktu tu aku baru berusia 9 tahun. Mana tak gembira bila jumpa duit sebanyak tu. Aku tarik 3 not RM50 itu dan terus memasukkan dalam poketku. Dompet itu? Ke longkang tempatnya. Sampai dirumah nenek, kami mengeluarkan duit untuk mengira. Kuantiti hampir sama kesemuanya kerana ada antara kami yang sempat membeli ais krim sewaktu beraya. Aku diamkan duit yang telah ku rembat dan semua tak tahu tentang tu.

Kenangan dan suasana raya aku di waktu kecil memang jauh berbeza dengan zaman sekarang. Kanak-kanak pun lebih suka beraya dengan keluarga dari keluar beraya bersama rakan-rakan. Ah, aku rindu betul dengan zaman tu. Boleh tak kalau aku beraya macam tu semula sekarang ni? Umur dah 25 tahun, tapi masih memberi salam bersama poket yang kosong menunggu dipenuhi dengan duit raya.

Izzy