Raya 2011

Bersama keluarga
Raya tahun ni aku rasakan macam dah makin kurang meriah kalau nak dibandingkan dengan suasana raya 10~15 tahun yang lepas. Budak-budak dah semakin malu nak menjenguk rumah-rumah meraih duit raya, meminta maaf sesama orang yang dikenali. Bagi aku, budak-budak sekarang macam dah tak perlukan tradisi lama tu lagi. Aku masih teringat lagi zaman aku berumur 7~10 tahun di mana aku memang beraya sakan dengan abang aku dan 2 orang saudara aku, Firdaus dan Iskandar. Kami semua gila, satu kepala. Hahaha, memang kelakar bila diingat semula. Malam sebelum hari raya, kami bermain mercun, bunga api, meriam, mercun plug, dan macam-macam lagi. Memang hingai bingar rumah kami. Tempat tinggal kami memang berdekatan, semua adik beradik nenekku tinggal cukup dekat. Kalau buka tingkap, dah memang boleh nampak apa yang dibuat dek nenek saudaraku di dapur. Tapi apa yang tak boleh aku lupakan ialah sewaktu aku beraya sakan bersama yang tersayang. Waktu tu, lepas habis Solat Hari Raya Aildilfitri, dan sesudah meminta maaf dengan orang tua, tanpa menjenguk kuih-kuih raya, kami berempat teruskan misi mencapai RM100 dalam satu hari. Bermula dari rumah di hadapan jalan, dan terus menerus menuju ke depan. Boleh dikatakan, tiada satu rumah pun miss dari taklukan kami. Setiap kali kami beraya dirumah orang yang tak dikenali, hampir semua tuan rumah bertanya " Kau anak siapa ?" Masing-masing pun mula la perkenalkan diri. Kalau boleh di "copy" and "paste" setiap dialog kami, dah tentu kami akan gunakannya sepanjang hari kerana setiap rumah pasti bertanyakan begitu. Jawapan kami cukup senang iaitu "Kami anak cucu Misah. Alah yang duduk kat Kampung Pulau tuuuuu".

Nak dijadikan cerita, setelah banyak rumah yang kami 'Invade', ada satu rumah ni yang takut kami nak datang. Iaitu rumah pengajar kami mengaji. Kami memanggilnya Tok Wak. Tok Wak memang seorang yang cukup garang. Kalau terperangkap antara Tok Wak dan harimau yang sedang lapar, kami sanggup pilih harimau dan bertarung dengan harimau daripada bertarung dengan Tok Wak. Hari itu, kami nekad untuk beraya di rumahnya kerana merasakan banyak juga dosa yang kami lakukan dengan mengutuknya dari belakang. 'Assalamualaikum!' Firdaus memberi salam. Tiada jawapan. Kami berpandangan sesama sendiri . Kali ni, dengan nada yang agak kuat, aku pula memberi salam. 'Assalamualaikum Tok Wak! Kami datang nak beraya!'. Sayup dari dalam rumah, terdengar orang menjawab salam tetapi dengan nada yang agak kelam. 'Waalaikumsalam. Ha budak-budak, masuk lah!'. Selesai makan dengan beradab dan sopan, kami meminta izin untuk beredar. Sekali toleh, terasa macam nak tercabut jantung bila nampak Tok Wak tengah duduk sambil memegang sampul duit raya dan rotan 'legend' di tangan kirinya. Tok Wak ketawa berdekah-dekah. Dipanggilnya kami semua mengadap, dengan perlahan dihulurkan sampul itu dan bersalam. Tok Wak, Tok Wak, buat cemas kami saja. Ini lah Tok Wak. Setiap kali mengajar, rotan sebesar ibu jari orang dewasa sudah tentu di tangannya. Tapi yang seronoknya, setiap juzu' yang kami habiskan, pasti mendapat RM0.50.

Ada lagi kenangan beraya di mana, ada lah satu rumah ni, baru hendak kami memberi salam, sudah terpampang tulisan tangan berwarna merah bertulis "Jurujual dilarang masuk, apatah lagi budak-budak nak datang beraya". Kesemua kami berpandangan, lantas menuju ke rumah sebelah dengan perasaan hampa. Ada juga rumah di mana, salam kami dijawab dengan nyalakan anjing yang cukup besar. Setelah hampir semua rumah kami jelajahi, dan sewaktu hendak pulang ke rumah, aku, Firdaus, Iskandar dan abangku sibuk mengira duit raya, mataku terpandang sesuatu di kaki. "Eh , ini dompet." Bisikku. Diam-diam ku biarkan mereka berlalu kedepan dan lantas aku ambil dompet tu. IC, kad bank, semua ada. Dan sebagai bonus, RM150 ada didalam nya. Waktu tu aku baru berusia 9 tahun. Mana tak gembira bila jumpa duit sebanyak tu. Aku tarik 3 not RM50 itu dan terus memasukkan dalam poketku. Dompet itu? Ke longkang tempatnya. Sampai dirumah nenek, kami mengeluarkan duit untuk mengira. Kuantiti hampir sama kesemuanya kerana ada antara kami yang sempat membeli ais krim sewaktu beraya. Aku diamkan duit yang telah ku rembat dan semua tak tahu tentang tu.

Kenangan dan suasana raya aku di waktu kecil memang jauh berbeza dengan zaman sekarang. Kanak-kanak pun lebih suka beraya dengan keluarga dari keluar beraya bersama rakan-rakan. Ah, aku rindu betul dengan zaman tu. Boleh tak kalau aku beraya macam tu semula sekarang ni? Umur dah 25 tahun, tapi masih memberi salam bersama poket yang kosong menunggu dipenuhi dengan duit raya.

Izzy