Jiwa Kacau

Jam dah menunjukkan pukul 1.25 pagi. Kebiasaannya aku tidur lewat kerana aku bekerja dengan diri sendiri. Boleh bangun dan tidur pada jam berapa yang aku mahu. Tapi malam ini aku terasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan perasaan aku. Sudah dua minggu cara layanannya berbeza terhadap diriku. Kalau kebiasaannya, selalu bermesej dan call setiap hari. Tetapi akhir-akhir ini, telah mulai berkurangan. Aku tahu, mungkin disebabkan kes salah faham dengannya dan mungkin juga dia terlalu sibuk dengan kerja. Ah, tidak mungkin kerana kerja kerana sebelum ini, semuanya berjalan dengan elok. Nama gadis itu ialah Nor Azila Binti Abdul Latiff atau nama manjanya Zila. Berumur 23 tahun dan bekerja sebagai seorang kerani di syarikat persaraan Polis. Buah hati yang teramat aku sayang. Kami berkenalan melalui YM (Yahoo Messenger). Selepas beberapa bulan perkenalan, aku dan Zila telah pun menjalinkan perhubungan yang dinamakan CINTA. Suka sama suka dan saling sayang menyayangi. Masih lagi aku teringat hari Raya Aidilfitri tahun ini di mana aku telah datang berjumpa dengan seluruh keluarganya. Waktu tu Allah S.W.T sahaja yang tahu bagaimana seronok bercampur seramnya perasaan aku. Tapi tidak mengapa kerana niat aku menjalinkan hubungannya bukan sekadar menanam tebu dipinggir bibir. Kalau sudah ditetapkan jodoh aku dengan Zila, aku terima dia dengan tangan terbuka.

Pada hari Ahad bersamaan 6 Oktober 2012, aku bersama Zila keluar berjalan-jalan di kota Kuala Lumpur. Membeli barangan itu dan ini, menonton wayang dan menghabiskan masa bersama. Seperti biasa, Zila akan datang menjemputku di rumah. Ini kerana aku belum masih mampu untuk membeli kereta, jadi Zila lah yang akan mengambilku di rumah setiap kali kami ingin berjumpa. Selepas melabuhkan punggung di kerusi, Zila meminta agar aku menutup mata dan disuruh supaya jangan mengintai. Aku pun akur mengikut tanda setuju dan tanpa soal. Selepas seketika, dia meminta aku membuka mata dan sekuntum bunga ros dihulurkan kepadaku. Aku mencium bunga itu, wangi dan ucapan terima kasih aku lemparkan bertalu-talu kepadanya. Sepanjang perjalanan, aku genggam bunga ros itu kerana sangat seronok menerimanya dari buah hatiku sendiri. Belum pernah seumur hidupku terima bunga ros mekar.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, kami sampai ke destinasi iaitu di Imbi Plaza. Setelah selesai meletakkan kereta di tempat letak kereta, aku dan Zila berjalan  menuju ke Berjaya Time Square. Sebelum masuk ke kompleks, aku menarik tangannya mengajaknya untuk makan tengah hari kerana perutku sudah pun berbunyi. Zila mengangguk tanda setuju dan kami terus ke tingkat 5 di kompleks itu. Selesai makan, aku dan Zila pergi menuju ke panggung wayang untuk membeli tiket bagi menonton cerita bertajuk Hantu Kapcai. Tergelak sakan aku dibuatnya di dalam panggung. Sangat seronok, apatah lagi yang tersayang turut gembira ketawa bersamaku. Tamat wayang itu kami berjalan dan 'window shopping' untuk telefon bimbit yang baru. Perancangan untuk membeli telefon bimbit Samsung Galaxy SIII sudah pun disemat di hati. Cuma menunggu masanya tiba sahaja. Zila menarik tanganku lagi berjalan untuk melihat tempat lain dan membeli barangan.

Sepanjang perjalanan di dalam kompleks itu, perutku tiba-tiba mula meminta agar diisi. Tetapi bukan lapar yang amat sangat, cuma mungkin disebabkan keletihan berjalan, perut yang sudah mulai kosong minta agar diisi sedikit. Aku mengajak Zila pergi membeli Ais Kacang kerana seleraku tertumpu ke sebuah gerai yang menjual Ais Kacang. Selesai menempah minuman itu, Zila berjalan ke gerai yang lain disusuli aku. Nafsu makanku melonjak-lonjak apabila terlihat Sizzling yang sedang ranum menggelegak. Ah, ketepikan soal sudah makan tadi, yang ini perlu ku jamah dan mesti diisi di perutku. Aku dan Zila makan bersama dan masing-masing kekenyangan kerana perut yang baru diisi dalam beberapa jam tadi telah diisi semula. Jam pun sudah kelihatan agak lewat dan aku mengajaknya pulang.

Sampai di persekitaran apartmentku, aku menunggu sebentar di dalam kereta bersamanya untuk berborak sebelum dia meluncur pulang ke rumah. Sedang kami bersembang, tiba-tiba adik angkatku yang bernama Wanie, telah menelefon. Belum sempat aku menjawabnya, dia telah meletakkan panggilan. Zila bertanya siapa, dan aku memberitahu tanpa berselindung bahawa Wanie yang memanggil. Zila memang sudah tahu yang aku mempunyai adik angkat. Tetapi malam itu, Zila menjadi agak cemburu dimana telefon bimbitku diminta untuk dilihat semua SMS. Aku tak teragak untuk memberikannya dan dia membelek setiap SMS aku bersama Wanie. Raut wajah yang pada mulanya senyum, lama-kelamaan bertukar hambar dan aku sudah yakin cemburunya sudah mula menular dalam diri. Aku akhirnya panik dan tanpa berfikir, terpacul persoalan yang ku anggarkan sangat bodoh diaju kepadanya. 'Sudah cemburu ke belum? Kalau belum, baca lah lagi.' Ah sudah... Aku betul-betul tak sengaja untuk berkata sedemikian. Mungkin tindakan refleks panik terhadap raut wajahnya itu.

Sebelum keadaan bertambah buruk, aku rampas telefon bimbitku dari tangannya supaya dia tidak lagi membakar sikap cemburu di hati. Tetapi tindakan aku itu disalah erti yang mana aku dianggap takut terbongkar rahsia. Aku jadi bertambah risau dengan situasi yang tegang itu, lantas aku menelefon Wanie bagi memuaskan hatinya. 'Hello! Wanie!' Panggilku dalam keadaan suara yang agak tegas. 'Ya abang, ada apa call Wanie?' Wanie menjawab perlahan. 'Wanie, abang ada bersama dengan Kak Zila sekarang. Tadi dia minta untuk membaca segala mesej kita berdua.' Bunyiku sedikit gemuruh. 'Eh, kenapa abang bagi? Nanti Kak Zila cemburu macam mana?' 'Abang memang sengaja biarkan supaya dia tidak akan rasa cemburu dengan hubungan kita tapi rupanya abang salah. Macam ini lah Wanie, lepas ini Wanie janganlah telefon abang dan SMS abang lagi. Abang akan padam nombor Wanie dan segala SMS Wanie.' Suaraku perlahan membuat keputusan terburu-buru. Wanie terdiam lantas panggilan itu putus. Selepas puas aku memujuk Zila, dia masih lagi berdiam diri. Aku menjadi keliru, serba salah yang teramat sangat. Jam kelihatan sudah pukul 1 pagi. Aku menjadi risau kerana keesokan harinya dia akan bekerja.

Tanpa membuang masa, aku mengambil keputusan untuk keluar dari kereta, dan pergi meninggalkannya. Bukan niatku untuk mengabaikannya. Tapi jika lebih lama aku menanti di situ dan terus memujuk, pasti Zila akan berkeras tidak mahu menjawab pertuturanku. Aku tinggalkan pesan supaya pulang dengan berhati-hati, dan beristighfar banyak-banyak. Aku melangkah dengan longlai dan sebak. Aku rasakan tindakan aku salah lantas aku kembali ke tempat letak kereta tadi. Zila telah balik. Aku kembali untuk pulang ke rumah. Aku tahu, aku lah yang bersalah dalam hal ini. Aku cuba membaikinya semula, tetapi Zila menutup telefon bimbitnya selama beberapa hari. Aku berada di dalam keadaan yang sangat risau dimana adakah dia selamat sampai ke rumah pada malam itu, apa khabarnya. dan semua persoalan tentang dirinya bermain dalam fikiran. Selepas tiga hari, Zila menjawab SMS ku. Berulang kali aku melafazkan minta maaf kepadanya dan dia masih menjawab dalam keadaan dingin. Sampai ke hari ini, setiap jawapan SMS atau panggilan darinya, amat dingin kepadaku. Aku sangat keliru. Jiwaku kacau dan tidak tenteram. Aku terlalu sayangkannya. Tidak sanggup aku kehilangan dirinya seperti mana aku kehilangan cintaku yang dulu. Aku masih lagi mencuba untuk menenangkan Zila dan memperbaiki hubungan ini. Masih lagi mencuba......

Izzy