Genting Highland

   Hari ini pada tarikh 22 haribulan Oktober 2012, dapat juga aku naik ke Genting Highland. Setelah berbelas tahun tidak menjejakkan kaki ke situ, akhirnya tercapai juga niatku ini. Masih teringat lagi zaman kanak-kanakku dikala berumur seawal 12 tahun, aku sekeluarga naik ke puncak itu. Kali ini aku betul-betul bersungguh mahu naik ke sana kerana ingin melihatkan apakah perubahannya selama berbelas tahun itu. Kalau dulu, segala aktiviti rekreasi yang ingin ku cuba asyik dihalang oleh orang tuaku, kali ini mesti ku rasa pengalaman itu semua. Tiket untuk ke Genting Highland telah pun ku beli pada hari Jumaat.  Tiket untuk dua orang, aku bersama rakan bilikku, pakej pergi dan balik beserta permainan taman tema luar sepanjang hari. Sengaja aku membelinya seawal mungkin kerana aku tidak mahu membuat segala persiapan dalam saat-saat kecemasan. Setelah tiga hari menunggu, hari Isnin tiba jua. Malam sebelumnya, aku bertekad untuk tidur awal walaupun waktu tidurku kebiasaannya pada subuh menjelang pagi. Aku cuba memejamkan mata tetapi masih juga gagal untuk tidur lantas aku bangun ke meja kerjaku, ku capai ubat batuk yang masih berbaki itu. Setelah dua teguk ubat batuk itu ku telan, aku merebahkan semula badanku ke tempat tidur. Sekitar sejam lebih aku menunggu agar mata ini mengantuk, tetapi kesannya masih masa. Jam pun sudah menunjukkan pukul dua pagi. Alamak, esok pukul enam, aku mesti bangun untuk bersiap. Ini tidak boleh jadi, terus ku tenangkan fikiran, tutup mukaku dengan bantal dan terus...... Zzzzz...

   Krrinngggg~!! Telefon bimbitku menjerit mengejutkanku dari tidur. Dengan keadaan yang kusut masai dan serabut, aku bangun. Jam baru pukul enam, ah mungkin sempat lagi untuk lima minit. Rakan bilikku sudah pun siap mandi. Eh, ini tidak boleh jadi. Ku capaikan tuala yang tergantung terus menerpa ke bilik air untuk mandi. Selesai semua persiapan, aku pun bertolak dari rumah menuju ke stesen KTM Petaling. Pada awalnya inginku ambil bas menuju ke KL Sentral, tetapi apabila melihatkan kesesakan lalulintas jalan raya, membuatkan aku mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan keretapi. Setibanya di KL Sentral, aku menuju ke tempat menunggu bas. Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi dan tiket kami adalah pada jam 8. Setelah naik ke dalam bas, aku pun melelapkan mata sebentar bagi memuaskan mataku yang masih kurasakan belum cukup tidur.

   Lebih kurang satu jam perjalanan, bas kami sampai ke destinasi bernama Genting Skyway. Di hentian ini, kami akan menaiki kenderaan yang dipanggil Gondola yang akan membawa kami naik ke atas. Di saat aku memijakkan kaki ke pelantar Gondola itu, jantungku berdegup pantas. Bagai nak gugur jantung dibuatnya bila melihat ke bawah. Perasaan yang pada awalnya takut bercampur seram, lama kelamaan menjadi seronok dan teruja. Perasaan ku melonjak apabila awan melintasi Gondola kami. Setelah 20 minit berada di dalam Gondola itu, aku pun sampai ke puncak Genting Highland, Kota penuh keriangan. Aku berlari seolah-olah kanak-kanak kecil yang baru sampai ke FunFair. Perkara pertama yang harus ku buat adalah mencuba aktiviti-aktiviti lasak yang ada disediakan di situ. Aku berjalan bersama rakanku mencari aktiviti mana yang harus dimulakan dulu. Ya, aku sudah siap memilih dan aktiviti Flying Coaster menjadi aktiviti pertama aku pada waktu itu.


   Setelah beberapa minit menunggu, sampai juga giliran aku dan rakanku naik ke pelantar terbang itu. Gemuruh, cemas, risau, takut semuanya bercampur menjadi perasaan yang rojak. Saat besi di lekatkan bagi menghalang penumpang dari jatuh, aku sudah pun menggigil. Perlahan-lahan pelantar itu naik keatas dan akhirnya menjunam laju membelah angin. Kesemua penumpang menjerit bagai hilang akal termasuk aku yang hanya mampu mengeluarkan bunyi seperti pondan yang lemas di sungai. Kelakar, seronok, teruja selepas menaiki permainan itu dan rakanku mengajak pergi ke Roller Coaster. Situasi yang sama juga berlaku yang mana pengakhirannya, tekakku terasa sakit kerana menjerit yang teramat sangat. Boating boat, Keretapi Pirate, Monorail dan boleh dikatakan hampir semuanya dapat ku rasa. Tetapi jam 4 petang, suasana bertukar hujan yang mana aku terpaksa memilih untuk bermain permainan dalam. Aku lantas menuju ke kompleks untuk mencari apakah permainan yang boleh aku sertai.

   Bermacam-macam aktiviti yang telah aku sertai sehinggakan ku terasa tumit, lutut dan betis ku kejang kerana berjalan tanpa henti ke sana dan kemari. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.30 petang. Selepas habis makan di McD, aku dan rakanku menuju ke Genting Skyway di mana Gondola kami sedang setia menanti. Selepas turun ke Stesen Genting Skyway, tubuhku terasa sangat lemah, letih kerana seronok menghabiskan sepenuh masa aku di kota keriangan itu. Pukul 8.30 malam, bas yang ditugaskan untuk mengambil penumpang tiba di perkarangan stesen dan kami mula meninggalkan Kota itu dengan begitu banyak kenangan. Aku telah pun memasang niat dimana aku ingin pergi semula ke sini bersama orang yang aku sayang.

Izzy